Search
Close this search box.

Ekosistem Perkongsian Data

Cabaran Perkongsian Data

Cabaran utama yang dikaitkan dengan perkongsian data pada masa ini adalah seperti berikut:

(i)   kebimbangan privasi data;
(ii)  kekangan perundangan semasa;
(iii)  risiko keselamatan penggunaan data;
(iv) 
format data yang tidak seragam serta pertindihan pengumpulan data yang sama dan berulang;
(v)   
kualiti dan ketepatan data; dan
(vi)  kekurangan kepercayaan terhadap ekosistem perkongsian data antara pihak berkepentingan.

Justeru, penggubalan RUU Perkongsian Data 2024 ini adalah merupakan penyelesaian bagi menangani kekangan perundangan dalam perkongsian data, manakala dasar, pekeliling dan garis panduan akan dibangunkan bagi menjelaskan lebih terperinci berkenaan pelaksanaan perkongsian data antara  agensi sektor awam di bawah RUU Perkongsian Data 2024. Perkara ini akan membolehkan perkongsian data sektor awam dilaksanakan secara sistematik.

RUU Perkongsian Data 2024 ini turut memberi pertimbangan yang setara kepada keperluan untuk melindungi data-data tertentu atas sebab-sebab keselamatan negara, kepentingan awam atau sebab-sebab lain yang tidak mewajarkan data itu dikongsi.

Perkongsian data di bawah RUU Perkongsian Data 2024 ini boleh disifatkan sebagai suatu penzahiran menurut perundangan bertulis lain seperti yang disenaraikan dalam Jadual di bawah RUU Perkongsian Data 2024 ini, dan ianya tidak akan melibatkan sebarang pindaan ke atas perundangan Persekutuan yang berkuat kuasa.

Buat masa ini, terdapat Akta dan peraturan lain yang terpakai kepada pegawai-pegawai awam iaitu Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] dan juga Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sekiranya pegawai awam disabitkan dengan isu ketirisan semasa mengendalikan data. Pemakaian RUU Perkongsian Data 2024 bagi tujuan perkongsian data dalam kawalan agensi sektor awam ini hendaklah dibaca dan diurus selaras dengan apa-apa perundangan dan arahan berhubung dengan keselamatan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan.

Dalam erti kata yang lain, RUU Perkongsian Data 2024 ini hendaklah menjadi tambahan kepada, dan tidak mengurangkan, peruntukan undang-undang bertulis lain yang berkaitan yang membenarkan suatu perkongsian data itu dibuat.

Sebagai tambahan, RUU Perkongsian Data 2024 tidak menghalang mana-mana pihak daripada membuat perjanjian perkongsian data namun haruslah selaras dengan tujuan dan perkara  yang diperuntukkan di bawah RUU Perkongsian Data 2024  ini.

RUU Perkongsian Data 2024 ini adalah merupakan satu punca kuasa undang-undang yang jelas bagi mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan perkongsian data, menambah baik keberkesanan pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan sektor awam, serta membolehkan aktiviti mengurus dan mengawal selia perkongsian data dengan lebih cekap dengan penglibatan semua pihak berkepentingan.

Pewujudan Jawatankuasa Perkongsian Data Negara dan peranan pengawal selia yang diberikan kepada Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara merupakan satu tindakan ke arah mewujudkan struktur tadbir urus perkongsian data sektor awam yang lebih sistematik dan berfokus di dalam ekosistem perkongsian data di peringkat Kerajaan Persekutuan.

RUU Perkongsian Data 2024 ini akan membolehkan aktiviti mengurus dan mengawal selia perkongsian data bertambah cekap dengan penglibatan semua pihak berkepentingan.

Hal ini bertujuan supaya perkongsian data dapat dilaksanakan dengan selamat dan berkesan bagi merealisasikan hasrat negara dalam meningkatkan ekonomi digital.

Secara ringkasnya RUU Perkongsian Data 2024 memberikan pelbagai faedah antara lainnya seperti berikut:

Rajah 8 Faedah Penggubalan RUU Perkongsian Data 2024

Rajah 8: Faedah Penggubalan RUU Perkongsian Data 2024

 

Skip to content