HEBAHAN: INFO KERAJAAN DIGITAL SIRI 32 - SISTEM PEMANTAUAN LAMAN WEB DAN SERVIS KERAJAAN (SPLaSK)

Poster SPLaSK Siri 32

 

Dengan segala hormatnya saya di arah merujuk kepada perkara tersebut di atas.

2.  SepertimanaYBhg. Tan Sri/ YBhg. Datuk Seri/ YBhg. Dato’ Seri/ YBhg. Datuk/ YBhg. Dato’/ YBhg. Datin/ YBrs.Ts. Dr./ Dr./ Ts./ Tuan/ Puan sedia maklum, transformasi digital menjadi agenda utama dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan kerana potensinya menyumbang ke arah kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.  Antara elemen penting kepada transformasi digital ini adalah penyediaan perkhidmatan dan maklumat melalui portal/laman web agensi sektor awam. Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bil. 2 Tahun 2015 – Pengurusan Laman Web Agensi Sektor Awam telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Digital Negara (dahulunya dikenali sebagai MAMPU) sebagai panduan kepada agensi untuk melaksanakan pengurusan portal/laman web agensi rasmi sektor awam bagi menyokong inisiatif perkhidmatan awam selaras dengan perkembangan teknologi terkini dan penyampaian perkhidmatan yang berpaksikan rakyat.

3.  Sistem Pemantauan Laman Web dan Servis Kerajaan atau dikenali sebagai SPLaSK merupakan satu platform pemantauan kendiri kepada pematuhan portal/ laman web rasmi agensi kerajaan terhadap kriteria yang telah ditetapkan oleh Jabatan Digital Negara (JDN).  Platform ini memantau secara masa nyata (real time) dan berterusan bagi memastikan agensi Sektor Awam yang telah mendaftar sebagai pengguna SPLaSK dapat melaksanakan penambahbaikan dengan segera untuk memastikan portal/laman web agensi masing-masing dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan. SPLaSK juga digunakan sebagai salah satu penanda aras bagi mengukur pematuhan kriteria dalam pembangunan portal/laman web rasmi agensi sektor awam.  Selain itu, agensi juga perlu merujuk kepada pekeliling/garis panduan yang berkaitan dengan pengurusan portal/laman web yang sedang berkuat kuasa.

4.  SPLaSK telah menggariskan empat peranan/tanggungjawab utama agensi iaitu Pengurusan Pengguna, Pengurusan Portal/Laman Web, Pematuhan Kriteria dan Maklum Balas.  Oleh itu, Agensi perlu memainkan keempat-empat peranan ini bagi memastikan objektif penggunaan SPLaSK tercapai dan memberi impak yang berkesan kepada pengurusan portal/laman web rasmi agensi sektor awam. 

5.  SPLaSK berfungsi untuk menilai pematuhan portal/laman web rasmi Sektor Awam melalui 6 dimensi yang merangkumi 24 kriteria dan menyediakan laporan dalam bentuk dashboardyang memaparkan maklumat mengikut peringkat iaitu Pengurusan Atasan, Kementerian/Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan Agensi di bawahnya. Sistem ini menyasarkan untuk merekod portal/laman web bagi seluruh Agensi Sektor Awam yang merangkumi Perkhidmatan Awam Persekutuan (PAP), Perkhidmatan Awam Negeri (PAN), Badan Berkanun Persekutuan (BBP), Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).  Sistem ini juga amat penting bagi menyokong agenda pendigitalan Negara melalui penarafan antarabangsa khususnya dalam penilaian United Nation Electronic Government Development Index (UNEGDI) bagi sub-indeks Online Service Index (OSI).

6.  Sehubungan dengan itu, dimohon kerjasama YBhg. Tan Sri/ YBhg. Datuk Seri/ YBhg. Dato’ Seri/ YBhg. Datuk/ YBhg. Dato’/ YBhg. Datin/ YBrs.Ts. Dr./ Dr./ Ts./ Tuan/ Puan untuk menguar-uarkan perkongsian Info Kerajaan Digital Siri 32 – Sistem Pemantauan Laman Web dan Servis Kerajaan (SPLaSK) kepada warga Kementerian/Jabatan/Agensi menerusi saluran/platform yang terdapat di Kementerian/Jabatan/Agensi tersebut. Sukacita bersama ini disertakan poster digital bahan promosi yang dimaksudkan untuk tujuan hebahan melalui e-mel, portal dan media sosial.

7.  Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan dengan hebahan ini, pihak Kementerian/Jabatan/Agensi boleh menghubungi Pasukan Kerja SPLaSK JDN di alamat e-mel splask@jdn.gov.my. Segala perhatian dan kerjasama tuan/puan dalam menguruskan perkara ini adalah amat dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian.

Skip to content