1. Latar Belakang Program
Jabatan Digital Negara (JDN) telah menggarap perancangan dan pelaksanaan inisiatif berkaitan bidang ET berdasarkan kepada Kajian Tahap Ketersediaan dan Penerimagunaan Emerging Technologies (ET) Di Sektor Awam yang dijalankan pada tahun 2023 dengan kerjasama MDEC dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Bidang ET yang difokuskan dalam kajian ini adalah Kecerdasan Buatan (AI), Blockchain, Pengkomputeran Awan, Analisis Data Raya, IoT dan Robotics and Process Automation (RPA). Kajian yang melibatkan 108 agensi Kerajaan daripada peringkat Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menunjukkan tahap ketersediaan agensi yang tinggi untuk pelaksanaan ET di agensi masing-masing.
Selain itu, Teras 7 dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 iaitu Transformasi Penyampaian Perkhidmatan Digital Kerajaan Melalui Inisiatif Kemunculan Teknologi Baharu menggariskan program-program bagi mengenal pasti projek kemunculan teknologi baharu yang berimpak tinggi untuk dilaksana di agensi sektor awam. Sehingga April 2024, pencapaian keseluruhan PSPSA ialah 67.71%, manakala bagi Teras 7 telah mencapai tahap 47.33%.
Pada tahun 2024, Jabatan Digital Negara telah memfokuskan pelaksanaan teknologi memuncul (emerging technologies) seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain, dan pengkomputeran awan untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam. Insiatif ini dilaksanakan sebagai menyokong kepada perancangan Dasar Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR) Negara dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) berkaitan sektor awam.
Teknologi AI sering digunakan dalam aktiviti analisis data dan automasi proses untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta mengurangkan kesilapan manusia. Blockchain pula diintegrasikan untuk meningkatkan tahap ketelusan dan keselamatan data yang membolehkan rekod yang lebih dipercayai dan sukar diubah. Manakala, pengkomputeran awan membolehkan keperluan sumber pengkomputeran diperolehi dengan cepat, mudah, terkawal dan fleksibel. Jabatan ini turut mengutamakan pembangunan dasar keselamatan digital dan rangka kerja etika AI bagi memastikan setiap teknologi dimanfaatkan secara selamat dan beretika.
Kecerdasan Buatan (AI)
Selaku agensi utama di bawah Kementerian Digital, JDN komited dalam memastikan AI diberikan keutamaan dalam inovasi pendigitalan sektor awam. Justeru itu, bagi menyokong dasar yang telah diperkenalkan, JDN memainkan peranan yang signifikan dalam pengadaptasian AI di sektor awam terutama dalam pembangunan dasar dan strategi digital di sektor awam. Usaha ini merangkumi pengurusan perubahan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai kerajaan dalam teknologi digital, khususnya AI serta penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan yang menyokong pengadaptasian AI.
Blockchain
JDN yang berperanan sebagai penyedia perkhidmatan gunasama sektor awam telah mengorak langkah dalam projek pembangunan Platform Blockchain as a Service (BaaS). Platform BaaS ini merupakan satu perkhidmatan gunasama yang sedang dibangunkan oleh JDN kepada agensi sektor awam bagi memastikan penggunaan perkhidmatan gunasama kerajaan secara optimum. Platform BaaS menggunakan infrastruktur MyGovCloud@PDSA dan MyGovNet yang selamat, fleksibel dan terangkum kepada agensi Sektor Awam.
Platform tersebut boleh digunakan sebagai sandbox dan production site kepada agensi sektor awam yang dikenal pasti berpotensi menggunakan Blockchain di dalam meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada pemegang taruh. Mengikut perancangan, platform ini akan mula digunakan pada suku pertama tahun 2025.
Pengkomputeran Awan
Perkhidmatan Pengkomputeran Awan merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh JDN dalam menyahut agenda Cloud First Policy dengan menyediakan perkhidmatan gunasama pengkomputeran awan sektor awam yang dikenali sebagai perkhidmatan MyGovCloud.
Pada Januari 2022, Kerajaan Malaysia telah memeterai perjanjian tripartite Cloud Framework Agreement (CFA) melibatkan empat Cloud Service Provider (CSP) bersama Managed Service Provider (MSP) masing-masing seperti Jadual 1 berikut:
2. Pencapaian Program tahun 2024
2.1 Kecerdasan Buatan (AI)
a)Seminar Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam 2024
Seminar Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam 2024 telah diadakan dengan kerjasama MDEC sebagai rakan strategik, dan berlangsung selama dua hari daripada 21 hingga 22 Ogos 2024 bertempat di Hotel Mercure Putrajaya. Objektif seminar ini adalah untuk (1) meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai AI di kalangan Pegawai Teknologi Maklumat dalam sektor awam; (2) membincangkan potensi pengadaptasian AI dalam sektor awam dan bagaimana ia boleh meningkatkan kecekapan operasi serta perkhidmatan kepada rakyat; dan (3) memberi pendedahan kepada pegawai tentang perkembangan terkini dalam teknologi AI dan cara mengintegrasikannya dalam tugas harian. Seminar melibatkan 131 peserta terdiri daripada Pegawai Teknologi Maklumat sektor awam. Seminar ini telah menghimpunkan 17 penceramah dan panel daripada sektor awam, industri, dan akademia melalui 11 slot pembentangan dan 1 slot forum.
b) Simposium Emerging Technology 2024
Jabatan Digital Negara telah bekerjasama dengan lnstitut Tadbiran Awam Negara (INTAN) bagi menganjurkan Simposium Emerging Technology bertemakan “Mendepani Peluang, Merealisasi Masa Hadapan” pada 1 hingga 2 Oktober 2024 (Selasa hingga Rabu) bertempat di Bangi Avenue Convention Centre (BACC). JDN telah dipertanggungjawab bagi mengendalikan sesi Forum AI For Public Sector dan dua sesi pembentangan berkaitan AI dan Blockchain pada hari kedua simposium.
Objektif simposium ini ialah menyediakan platform bagi perkongsian pengetahuan dan pengalaman antara penjawat awam, pakar industri, dan akademia serta mengukuhkan jaringan profesional dan kolaborasi dalam menghadapi cabaran digital masa kini dan masa depan serta menggalakkan penggunaan teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan dan pengkomputeran awan, dalam reka bentuk dan implementasi penyelesaian inovatif untuk peningkatan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif dan efektif.
YB Menteri Digital, Tuan Gobind Singh Deo telah menyampaikan aspirasi emerging technology negara melalui sesi INTAN Minister’s Conversation (IMC) pada hari pertama simposium. Manakala, JDN turut membuka reruai dalam simposium ini bagi mendedahkan peserta simposium kepada inisiatif Data Terbuka Sektor Awam dan Portal MyGovernment. Simposium ini dilaporkan telah dihadiri oleh seramai 1,200 orang penjawat awam pada kedua-dua hari.
c) Bengkel Libat Urus Pembangunan Garis Panduan Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam Siri 1 dan 2
Bahagian Perundingan Digital, Jabatan Digital Negara (JDN), Kementerian Digital, dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah menganjurkan Bengkel Libat Urus bersama Agensi bagi Pembangunan Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam – Siri 1 pada 29 Oktober 2024 bertempat di Hotel Aloft KL Sentral dan Siri 2 pada 18 November 2024 bertempat di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur.
Bengkel Siri 1 telah dirasmikan oleh YBrs. Ts. Dr. Fazidah Abu Bakar, Ketua Pengarah JDN dan telah dihadiri seramai 90 orang pegawai daripada Kementerian Digital dan pelbagai agensi sektor awam termasuk wakil IPTA.
Bengkel ini dianjurkan bertujuan untuk memperhalusi draf awal Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam dengan mendapatkan pandangan dan pendapat para pakar dan pegawai sektor awam dan organisasi yang berkaitan bagi memastikan penyediaan satu garis panduan yang komprehensif dan praktikal.
d) Pembangunan chatbot AI di Portal JDN – AI@JDN
Bagi memenuhi aspirasi Kerajaan Madani mewujudkan perkhidmatan awam yang responsif dan berteraskan rakyat (Citizen Centric) serta berteraskan data (Data Driven), JDN melalui kepakaran dalaman telah membangunkan aplikasi chatbot yang diintegrasi dengan teknologi AI yang dinamakan AI@JDN di Portal JDN. AI@JDN merupakan medium komunikasi dan saluran maklumat yang membantu pengguna dengan pelbagai soalan berkaitan perkhidmatan digital kerajaan. AI@JDN juga menyediakan maklumat terkini mengenai inisiatif, dasar, polisi, garis panduan, dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh JDN.
e) Pembangunan aplikasi analisis sentimen Suara Rakyat (SuaRa)
JDN telah membangunkan aplikasi Suara Rakyat (SuaRa) dengan menggunakan kepakaran dalaman. SuaRA ialah aplikasi pintar yang menggunakan enjin AI Generatif untuk menganalisis persepsi rakyat tentang perkhidmatan sektor awam menggunakan data dari pelbagai platform media sosial seperti X, Facebook, YouTube dan TikTok. Aplikasi SuaRa berpotensi merumuskan hasil analisis yang boleh digunakan sebagai asas dalam perancangan dan pembuatan keputusan yang inklusif dan berpaksikan rakyat. SuaRa kini sedang digunakan secara rintis di JDN.
f) Pembangunan bakat dalam bidang AI
Bagi tujuan peningkatan dan pengembangan bakat pula, JDN giat melaksanakan program kesedaran, latihan kemahiran dan kursus pensijilan bagi memastikan penjawat awam bersedia menyahut cabaran ledakan teknologi AI masa kini. Pada tahun 2024, seramai 26 orang pegawai telah mengikuti kursus pensijilan AI iaitu melibatkan antaranya; Kursus Pensijilan Microsoft Azure AI, Kursus Pensijilan IEEE CertifAIEdâ„¢ Assessor dan Kursus CatalystIQ: AI and Data Science Specialist – Elevating Public Sectors di bawah penajaan Program Accelerated Course for Competency Excellence (ACE) di Chennai, India.
g) Khidmat rundingan dan khidmat nasihat
JDN turut menyediakan khidmat rundingan dan khidmat nasihat berkaitan bidang AI kepada agensi sector awam dan terlibat dengan kerjasama bersama rakan industri. Sepanjang Januari hingga November 2024, pasukan AI BPD JDN telah terlibat dalam 70 sesi khidmat nasihat berupa sesi perbincangan, taklimat, sesi libat urus, seminar, lawatan penanda aras dan lain-lain lagi.
h) Kolaborasi Quadruple Helix
JDN juga sentiasa komited berkolaborasi dengan pihak industri, akademia dan komuniti bagi memastikan pengadaptasian AI sektor awam dapat dipertingkat dan memberi manfaat kepada rakyat. Antaranya kerjasama dengan syarikat-syarikat Cloud Service Providers (CSP), syarikat tempatan seperti Mesolitica, pihak IPT seperti UPM, UM, UTM, UNIMAS dan banyak lagi. Kerjasama quadruple helix ini juga akan dapat memperkembang dan merancakkan lagi ekosistem AI negara.
2.2 Blockchain
a) Projek Pembangunan Platform Blockchain as a Service (BaaS)
Projek pembangunan Platform BaaS ini telah ditauliahkan kepada syarikat Zanko Sdn Bhd. untuk tempoh tiga(3) tahun bermula 1 April 2024 sehingga 31 Mac 2027.
Bermula April 2024, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual pelaksanaan. Sehingga 31 Oktober 2024, peratus pencapaian fizikal projek adalah sebanyak 45.61% berbanding perancangan 46.35%. Platform ini dijangka akan boleh ditawarkan sebagai salah satu perkhidmatan gunasama JDN pada suku tahun pertama tahun 2025.
Sesi Spesifikasi Keperluan Bisnes, Spesifikasi Keperluan Perisian Dan Spesifikasi Reka Bentuk Perisian diadakan bersama Pasukan Projek di sepanjang bulan April hingga Mei 2024
Sesi Review bagi Modul BaaS disepanjang bulan Ogos hingga Oktober 2024
Â
b) Khidmat Nasihat berterusan berkaitan Blockchain
Sepanjang tahun 2024, beberapa siri khidmat nasihat diberikan kepada agensi sektor awam mengenai inisiatif projek ini bagi mendapatkan input dan pandangan daripada agensi berhubung prospek adaptasi teknologi BaaS ke atas sistem-sistem yang berpotensi mendapat manfaat dari aspek meningkatkan ciri-ciri keselamatan dalam proses pengesahan maklumat.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) – 11 Oktober 2024
Jabatan Kemajuan Kemahiran (JPK) – 15 Oktober 2024
2.3 Pengkomputeran Awan
Bagi memastikan pelaksanaan projek perkhidmatan pengkomputeran awan menerusi CFA dilaksanakan dengan teratur dan terkawal selaras dengan dasar dan garis panduan yang berkuatkuasa, JDN telah melaksanakan kajian impak dan halatuju perkhidmatan pengkomputeran awan di bawah CFA bermula Januari 2024 hingga Jun 2024.
Skop kajian merangkumi aspek tadbir urus, perolehan, teknikal dan keselamatan, perkhidmatan katalog CFA serta nilai tambah CFA. Kajian ini dilaksanakan secara kuantitatif (edaran soal-selidik) dan kualitatif (bengkel, sesi kumpulan fokus dan desktop research) melibatkan responden dan informan dari pelbagai pihak iaitu agensi kerajaan, pihak industri, panel CSP dan MSP di bawah CFA. JDN turut mengambilkira pandangan dan cadangan daripada CSP dan MSP di luar kontrak CFA.
Kajian ini juga telah turut menilai tatacara perolehan yang ditetapkan selaras dengan Perjanjian Perdagangan Bebas (Free Trade Agreement – FTA) selaras dengan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Secara keseluruhannya, inisiatif pelaksanaan perkhidmatan pengkomputeran awan di bawah CFA sangat berkesan dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan. Dapatan kajian mendapati pelaksanaan pengkomputeran awan dalam sektor awam bagi tempoh tiga (3) tahun pertama di bawah Cloud Framework Agreement (CFA) adalah di landasan yang tepat dan berjaya mencatat keberkesanan 86.95%.
Walau bagaimanapun, terdapat keperluan penambahbaikan ke atas kontrak CFA selaras dengan peranan JDN sebagai agensi pelaksana perkhidmatan pengkomputeran awan sektor awam serta berperanan memastikan tadbir urus dan pemantauan perkhidmatan pengkomputeran awan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
Bengkel CFA Siri 1 di Pulse Grande, Putrajaya pada 2-3 Mei 2024
Bengkel CFA Siri 2 di Menara Axis, Cyberjaya pada 29-30 Mei 2024
Bengkel Penyediaan Spesifikasi CFA dan Pemantapan Perkhdimatan Cloud Sektor Awam di Movenpick, Sepang pada 25-27 September 2024
3. Way Forward (Perancangan Program tahun 2025)
(Senaraikan Program-Program yang berkaitan)
Jabatan Digital Negara
Aras 1-6,
Bangunan MKN Embassy Techzone
Blok B, No. 3200
Jalan Teknokrat 2
63000 Cyberjaya, Sepang
Selangor Darul Ehsan
Tel : 603-8000 8000
E-mel: webmasterjdn@jdn.gov.my
Pelawat Hari Ini : 85
Jumlah Pelawat : 32494
Jumlah Capaian :Â 906906
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini dengan resolusi minima 1366×768