Search
Close this search box.

Ekosistem Perkongsian Data

Rukun Perkongsian Data

Perkongsian data di bawah RUU Perkongsian Data 2024 ini boleh disifatkan sebagai suatu penzahiran menurut perundangan bertulis lain seperti yang disenaraikan dalam Jadual di bawah RUU Perkongsian Data 2024 ini, dan ianya tidak akan melibatkan sebarang pindaan ke atas perundangan Persekutuan yang berkuat kuasa.

Buat masa ini, terdapat Akta dan peraturan lain yang terpakai kepada pegawai-pegawai awam iaitu Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] dan juga Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sekiranya pegawai awam disabitkan dengan isu ketirisan semasa mengendalikan data. Pemakaian Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024 bagi tujuan perkongsian data dalam kawalan agensi sektor awam ini hendaklah dibaca dan diurus selaras dengan apa-apa perundangan dan arahan berhubung dengan keselamatan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan.

Dalam erti kata yang lain, RUU Perkongsian Data 2024 ini hendaklah menjadi tambahan kepada, dan tidak mengurangkan, peruntukan undang-undang bertulis lain yang berkaitan yang membenarkan suatu perkongsian data itu dibuat.

Sebagai tambahan, RUU Perkongsian Data 2024 tidak menghalang mana-mana pihak daripada membuat perjanjian perkongsian data namun haruslah selaras dengan tujuan dan perkara  yang diperuntukkan di bawah RUU Perkongsian Data 2024  ini.

RUU Perkongsian Data 2024 ini adalah merupakan satu punca kuasa undang-undang yang jelas bagi mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan perkongsian data, menambah baik keberkesanan pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan sektor awam, serta membolehkan aktiviti mengurus dan mengawal selia perkongsian data dengan lebih cekap dengan penglibatan semua pihak berkepentingan.

Skip to content