Bahasa Malaysia

Bahasa Inggeris


Pelaksanaan Enterprise Architecture
Sektor Awam

 

Fakta Pantas:

Peringkat Strategik:

  • 44 Agensi pelaksana melalui PSP
  • 15 Agensi pembangun Blueprint EA

Peringkat Program:

  • 14 Agensi
  • 19 Program

Peringkat Projek:

  • 19 Sistem Aplikasi ICT

Pengenalan

Enterprise Architecture (EA) merupakan pendekatan berstruktur dan sistematik bagi mentransformasikan serta menyelaraskan strategi perkhidmatan dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam sesebuah organisasi. Pelaksanaan EA membolehkan organisasi mengenal pasti serta memperkemas perkhidmatan melalui pemahaman menyeluruh terhadap struktur, fungsi, proses kerja, data, aplikasi dan teknologi yang menyokong penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Dalam konteks sektor awam Malaysia, pendekatan EA bagi tujuan analisis, reka bentuk, perancangan dan pelaksanaan strategi kerajaan dilaksanakan melalui Malaysian Government Enterprise Architecture (MyGovEA). Sehubungan itu, Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2020 bertajuk MyGovEA: Pelaksanaan Pendekatan Reka Bentuk Berstruktur Ekosistem Organisasi Perkhidmatan Awam telah dikeluarkan selaras dengan Pelan Induk MyGovEA sebagai panduan kepada agensi sektor awam dalam membangunkan dan melaksanakan amalan EA secara terancang dan standard.  

Bagi menyokong pelaksanaan MyGovEA, pembangunan EA sektor awam dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan gambaran holistik dan keperluan reka bentuk yang merangkumi empat domain digital, iaitu Business (Perkhidmatan), Data, Aplikasi dan Teknologi (BDAT). Peringkat tersebut meliputi:

  • Peringkat Strategik – Pembangunan EA pada aras strategik seperti Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) dan Pelan Strategik Organisasi (PSO);
  • Peringkat Program – pendigitalan ekosistem perkhidmatan dalam skop program tertentu, contohnya Program Perumahan Negara; dan
  • Peringkat Projek – pembangunan penyelesaian digital bagi projek ICT khusus.

Sehingga Disember 2025, pelaksanaan EA sektor awam menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan di ketiga-tiga peringkat tersebut. Pada peringkat strategik, sebanyak 44 agensi telah melaksanakan EA melalui Pelan Strategik Pendigitalan (PSP), manakala 15 agensi telah membangunkan Blueprint EA. Di peringkat program pula, pelaksanaan EA melibatkan 14 agensi merangkumi 19 program, manakala di peringkat projek, pembangunan EA telah dilaksanakan bagi 19 sistem aplikasi ICT.

Pencapaian ini menunjukkan komitmen sektor awam dalam mengarus perdanakan pendekatan EA sebagai asas kepada perancangan dan pelaksanaan pendigitalan kerajaan secara menyeluruh, selaras dengan usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital yang lebih terselaras, berkesan dan berpaksikan rakyat.

Pautan Portal MyGovEA: https://mygovea.jdn.gov.my/

 

Skip to content